Profil Kelab
Kelab Fotografi UTM atau lebih dikenali dengan KFUTM telah ditubuhkan pada 31 Julai 1978 di Kampus Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Penubuhannya adalah hasil daripada mesyuarat PMUTM dengan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia iaitu YB Tan Sri Ainuddin b. Abdul Wahid.
Pada masa itu ianya hanya satu unit kecil di bawah Jabatan Sosial & Kebudayaan, Majlis Perwakilan Pelajar. Semasa penubuhannya, kelab ini mempunyai 80 orang ahli sahaja. Kelab ini mendapat kerjasama dari jabatan Fizik, Fakulti Sains untuk menjalankan kelas fotografi.
Kini KFUTM telah melangkah lebih maju di bawah pentadbirannya sendiri. KFUTM juga mempunyai kelabnya di kampus induk Skudai yang dikenali Kelab Foto Kreatif. Semenjak ditubuhkan, KFUTM mengadakan kelas bimbingan yang diadakan pada setiap minggu dimana teori mengenai fotografi didedahkan. Selain teori, aktiviti praktikalnya juga dilaksanakan bagi memastikan bakat yang ada dapat digilap. Bengkel pembikinan video juga diadakan dalam usaha memperkenalkan ahli-ahli kepada peralatan yang moden dan canggih.
Dan pada hari, jam, minit dan saat ini….
Kini, Kelab Fotografi mempunyai seramai 425 ahli berdaftar semenjak sesi pengajian 2002/2003 sehingga kini. Ahli-ahli ini masih lagi meneruskan pengajian dalam bidang masing-masing di Kampus Kota UTM Jalan Semarak.
Pada awal penubuhannya, Kelab Fotografi telah ditempatkan di Blok V401 dan pada tahun 2001, Kelab Fotografi telah mendapat sebuah bilik gerakan yang baru bertempat di antara DK1 dan DK2 berhadapan dengan Kedai Buku PPD. Kelab Fotografi juga sedang berusaha untuk menambah baik kelengkapan yang terdapat di dalam bilik gerakan.
Setelah hampir 26 tahun penubuhannya dan dengan kelulusan yang diberikan oleh Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar (HEP) pada tahun 2003 Kelab Fotografi telah mendapat sebuah kedai (kiosk) yang terletak berhampiran DK3 untuk tujuan perniagaan. Nama PHOTOKIOSK telah diberikan atas perniagaan yang memberikan perkhidmatan kepada warga kampus seperti cenderahati universiti, cucian gambar dan pelbagai lagi. Tanggal 1hb April 2005, dengan langkah bijak, Kelab Fotografi telah mendaftarkan Photokiosk melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan nama perniagaan PHOTOKIOSK ENTERPRISE (Co. No. 001543170-M).
Pada setiap semester, Kelab Fotografi dengan pantauan dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar dari semasa ke semasa telah mengatur dan merancang aktiviti-aktiviti yang dapat memberikan kepuasan dalam diri setiap ahli. Semoga komitmen yang tinggi dapat diwujudkan bagi merialisasikan impian yang selama ini diimpikan bersama.
FOKUS DENGAN TEPAT
Bertanggungjawab terhadap aktiviti pelajar didalam bidang fotografi dan mengutamakan kebajikan ahli.
Penyataan misi diatas adalah penyata KFUTM dimana “Fokus” disini kita sedia maklum adalah satu perbendaharaan kata yang lazim digunakan dalam bidang fotografi. Maksud “Fokus” secara umum adalah satu proses untuk mendapatkan satu perkara yang terbaik dan dalam konteks ini matlamat KFUTM itu sendiri dimana KFUTM cuba melahirkan ahli fotografi yang cekap, mahir dan kreatif serta boleh menggunakan ilmu untuk kemajuan diri dan masyarakat.
“Tepat” disini membawa maksud tidak lari dari apa jua yang kita rancangkan. Dengan kata lain kita tidak mahu fungsi KFUTM ini lari dari matlamat asal penubuhannya.
MATLAMAT
Memberi laluan kepada mahasiswa yang berminat dalam dunia fotografi untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman asas tengtang fotografi.
Menghimpunkan semua mahasiswa yang mempunyai minat dan hobi dalam fotografi.
Mendedahkan kepada ahli-ahli dengan peralatan fotografi yang terkini mahupun yang sebelumnya.
Mewujudkan kerjasama dan persefahaman di kalangan ahli melalui aktiviti-aktiviti KFUTM.
Membentuk mahasiswa yang mempunyai keyakinan dan semangat yang tinggi serta bertanggungjawab selaras dengan kehendak universiti melalui program yang diadakan.